Sejarah Ringkas Al-Hafiz Abu al-Fadl
Abdullah al-Siddiq al-Ghumari
Beliau ialah al-Syeikh al-Sayyid Abu al-Fadl Abdullah bin al-Allamah Abu Abdillah Syamsuddin Muhamad bin al-Wali al-Kabir Sayyidi Muhammad al-Siddiq ibn Sayyidi Ahmad bin Muhammad bin Qasim bin Muhammad bin Abdul Mukmin al-Ghumari al-Tanji bin Muhammad bin Abdul Mukmin bin Ali bin al-Husain bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Abdullah bin Isa bin Sa'id bin Mas'ud bin al-Fudail bin Ali bin Umar bin al-Arabi `Allal bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Maulana Idris bin Maulana Idris al-Kamil bin Abdullah bin al-Hassan al-Muthanna bin Sayyidina al-Hasan bin Sayyidina Ali r.a. dan Fatimah az-Zahra binti Muhammad Rasulullah s.a.w.
Dilahirkan pada penghujung bulan Jamadil Akhir tahun 1328 H / 1910 M di Tanger, Maghribi.
Sejak kecil beliau mendapat pendidikan daripada bapanya. Semasa di bawah pendidikan bapanya beliau telah menghafal al-Quran dengan riwayat Warash, kemudian riwayat Hafs. Setelah itu beliau menghafal sesetengah matan ilmu agama seperti Manzumah al-Khazzar yang berjudul Maurid al-Zam'an dan sebahagian besar daripada Matan Alfiyyah, Matan Arba'in an-Nawawi, Ajrumiyyah, Bulugh al-Maram dan Mukhtasar al-Syeikh al-Khalil. Beliau kemudiannya mempelajari kitab Syarh al-Azhari `Ala al-Ajrumiyyah daripada saudaranya Abu al-Fayyid.
Setelah itu dengan perintah bapanya beliau telah merantau ke Fes untuk menuntut ilmu di Universiti al-Qurawiyyin. Di situ beliau belajar Syarh al-Alfiyyah karangan al-Makudi daripada al-Syeikh al-Syarif al-Habib al-Muhaji. Beliau juga mempelajari kitab tersebut beserta hasyiahnya (nota tepi) daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj bin al-Mahsyi. Beliau mempelajari Syarh Ibn `Aqil dan Hasyiah al-Sija'i daripada al-Syeikh Muhammad al-Hajj. Beliau mempelajari bahagian awal Syarh al-Kharsyi `Ala Mukhtasar Khalil daripada al-Syeikh al-Habib al-Muhaji dan kitab al-Jinayat dalam Syarh al-Kharsyi daripada al-Syeikh Ahmad al-Qadiri. Bab al-Buyu' (jual-beli) dipelajari daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj. Beliau mempelajari Syarh al-Bukhari oleh Imam al-Qastalani daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj di Masjid Maulaya Idris. Antara lain lagi guru beliau berkaitan kitab terbabit ialah al-Syeikh al-Husain al-`Iraqi, al-Allamah Abdul Hayyi al-Kattani. Beliau mempelajari kitab Jam' al-Jawami' Syarh al-Muhalla daripada beberapa orang guru seperti al-Syeikh alèHusain al-`Iraqi, al-Allamah Abdullah al-Fudaili dan al-Syeikh al-Abbas Bannani.
Pada penghujung bulan Sya'aban 1349 H / 1930 M, beliau merantau ke Mesir dan menyambung pelajaran di al-Azhar. Di situ beliau mempelajari berbagai ilmu daripada ramai guru seperti al-Syeikh Abdul Qadir al-Zantani al-Tarabulsi, al-Allamah Muhammad Hasanain Makhluf al-Adawi al-Maliki, al-Syeikh Hamid Jad, al-Syeikh Mahmud Imam Abdul Rahman al-Mansuri al-Hanafi. Demikian adalah sebahagian kecil daripada bab dan kitab ilmu yang dipelajarinya yang dapat dimuatkan di sini secara ringkas. Secara umumnya beliau telah menghabiskan berbagai lapangan ilmu agama daripada ramai guru.
Beliau telah mengabdikan hidupnya dalam lapangan ilmu dengan mengajar kitab Jam' al-Jawami' Bisyarh al-Muhalla, Syarh al-Malawi `Ala al-Silm, Sullamu al-Wusul Ila `Ilm al-Usul, al-Jauhar al-Maknun fi al-Balaghah, Syarh al-Makudi, Tafsir al-Nasafi, al-Ahkam lil Amidi dan Tafsir al-Baidawi.
Beliau meninggal dunia di Tanger, Maghribi pada hari Khamis 19 Sya'aban 1413 H / 11 Febuari 1993 M dan dikebumikan bersebelahan kubur bapanya.
Rujukan:
Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari
(1328-1413 H / 1910-1993 M)
Karangan: Dr. Farouk Hamadah
Terbitan: Dar al-Qalam – Dimasyq
Cetakan Pertama 1427 H / 2006 M
Edisi Arab: Itqan al-Sun'ah Fi Tahqiq Ma'na al-Bid'ah
Karangan: al-Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari
Terbitan: Maktabah al-Kaherah – Mesir
Cetakan 1426 H / 2005 M
Edisi Rumi: Makna Sebenar Bid'ah: Satu Penjelasan Rapi
Karangan: al-Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari
Penterjemah: Muhammad Ramzi Omar
Terbitan: Middle East Global (M) Sdn. Bhd.
Cetakan Pertama 2005 M
ABCD @ RABU / 07 FEBUARI 2007 / 04:15